Garis panduan media sosial pelajar atau nama penuhnya, Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial bagi Guru dan Murid telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui satu pekeliling pada 23 Jun 2017.
Garis panduan ini dibuat rentetan daripada kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan media sosial dalam kalangan guru dan murid.
Garis panduan ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Profesional KPM Bil.02/2017 pada 12 Januari 2017, dan tarikh kuat kuasa adalah pada 23 Jun 2017.
Tujuan Garis panduan penggunaan media sosial pelajar
Oleh itu, garis panduan media sosial pelajar adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan media sosial yang membawa kepada pelbagai keburukan terutamanya dalam penyebaran fitnah dan perkongsian maklumat kurang tepat.
Dalam pada itu, panduan ini bertujuan menerangkan tatacara, peraturan dan kawalan kandungan media sosial yang perlu dipatuhi oleh pelajar supaya
- penyebaran dan perkongsian maklumat terkawal;
- maklumat yang dipaparkan tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan awam dan kedaulatan negara;
- isu salah laku dan penyebaran maklumat tidak beretika di media sosial dapat dielakkan;
- maklumat yang disampaikan adalah jelas dan tepat; dan
- kesejahteraaan sistem pendidikan di Malaysia terpelihara.
Etika penggunaan media sosial pelajar
Murid boleh memanfaatkan penggunaan media sosial secara positif untuk tujuan:
- meningkatkan pembelajaran bagi menambah baik kualiti sistem pendidikan; dan
- membolehkan murid berkomunikasi serta mendapatkan maklumat secara pantas dan meluas bagi meningkatkan mutu pembelajaran pendidikan.
Pelajar dilarang menggunakan media sosial untuk tujuan di bawah.
- mendedahkan maklumat rasmi yang terkandung dalam dokumen sulit/dokumen terhad kerajaan kepada pihak umum;
- memberikan atau berkongsi komen negatif tentang isu-isu yang melibatkan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia, kepimpinan sekolah dan guru-guru; menyebarkan maklumat yang tidak sahih;
- berkongsi kenyataan yang menyentuh isu-isu sensitif politik, agama, kaum dan individu terutama kepada isu yang boleh mengancam keselamatan negara; melayan komunikasi dengan pihak yang agresif dan kasar;
- melibatkan diri dengan aktiviti yang boleh membawa kepada salah laku juvana;
- melibatkan diri dengan buli siber atau aktiviti yang boleh menjurus kepada CyberHarassment atau CyberStalking;
- melibatkan diri dengan ancaman siber seperti kecurian identiti, penyamaran, pornografi (bahan lucah), keganasan; dan
- memuat naik maklumat peribadi yang boleh membahayakan diri
Perbuatan atau kelakuan yang dikategorikan sebagai buli siber atau menjurus kepada perbuatan buli siber adalah seperti yang berikut:
- memberi gelaran atau mengejek; menghantar/menggunakan mesej kasar atau kurang sopan;
- menyebarkan pembohongan atau khabar angin tentang murid lain;
- mengecualikan atau mengabaikan murid lain;
- menggodam akaun murid lain;
- memuat naik gambar murid lain yang memalukan;
- memuat naik maklumat sulit tanpa kebenaran; dan
- mengugut atau memaksa murid lain melakukan sesuatu.
Waktu penggunaan media sosial untuk pelajar
Penggunaan akaun peribadi media sosial dalam kalangan guru dan murid semasa dan di luar waktu persekolahan tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuat kuasa bagi memastikan penggunaan media ini tidak menjejaskan perkhidmatan awam, pegawai awam dan keselamatan murid.
Sumber dan pautan berkaitan
- PANDUAN membeli laptop
- BELI telefon pintar
- Pekeliling dan buku panduan Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial
- Akta Rahsia Rasmi 1972;
- Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993;
- Tatasusila Profesion Perguruan, Malaysia;
- Akta Komunikasi dan Multimedia 1998;
- Akta Perlindungan Data Peribadi 2010;
- Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU bertarikh 17 Julai 2009 bertajuk “Pelaksanaan Blog bagi Agensi Sektor Awam”;
- Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU bertarikh 19 November 2009 bertajuk
“Penggunaan Media Jaringan Sosial di Sektor Awam”;
Comments are closed.