Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan tujuh langkah untuk mengurangkan beban guru di sekolah bermula semester baru kelak.
Antara yang paling utama adalah bertindak memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan dan majlis yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid dan hanya membebankan guru.
Antara yang disebut sebagai contoh pertandingan adalah Pusat Sumber terbaik, Bilik SBPT terbaik, tandas tercantik dan lain lain.
Selain daripada itu, KPM juga mengumumkan pengurangan kekerapan menyemak elemen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru kepada satu tahun sekali.
Turut diberi perhatian adalah waktu mengunci rekod kehadiran pelajar dalam sistem APDM yang kini akan lebih fleksibel, iaitu 12 tengahari untuk sekolah sesi pagi dan 5PM untuk sekolah sesi petang.
Pelantikan pengawas peperiksaan awam seperti SPM, MUET dan STPM juga diberi perhatian oleh KPM dimana pengumuman memaklumkan bahawa ianya akan dibuka kepada individu selain guru seperti pesara, penuntut di Institut Pengajian Guru (IPG) dan Institur Pengajian Tinggi (IPT).
Tidak cukup dengan itu, KPM juga mahu sambutan Hari guru kini dihadkan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, sekaligus memansuhkan sambutan yang pada kebiasaannya juga disamput di peringkat Negeri, dan PPD.
Akhir sekali, KPM memutuskan untuk kembali menekankan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) yang kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM bil. 3/1999 dan memberi lebih autonomi kepada guru untuk pentaksiran di sekolah.
Anda boleh melihat siaran media daripada KPM berhubung pengurangan beban guru ini di bawah.