Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan hampir RM600 juta untuk menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar Sarawak yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tinggi mulai tahun depan.
Inisiatif ini dikhususkan untuk pelajar yang mendaftar di empat universiti milik kerajaan negeri dan merangkumi 64 kursus pengajian.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Negeri, Datuk Dr Annuar Rapaee, keputusan ini dibuat demi kepentingan pendidikan belia Sarawak, meskipun janji tersebut tidak pernah dibuat semasa pilihan raya oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Empat universiti yang terlibat adalah Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin Malaysia, Universiti Swinburne Sarawak, dan Kolej Universiti I-Cats.
Pengumuman ini dibuat semasa program jangkauan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak di zon tengah, yang dirasmikan oleh menteri, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Adalah difahamkan pendidikan percuma ini terhad kepada pelajar yang belajar secara sepenuh masa dan tiada had umur ditetapkan, dan ianya termasuk rakyat Sarawak yang sudah bekerja tetapi ingin melanjutkan pengajian.
Selain itu, terdapat perancangan untuk meluaskan inisiatif ini ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain di Sarawak pada fasa kedua, termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.
Sumber: Sarawak Tribune

