32.8 C
Kuala Lumpur
Selasa, Jun 21, 2022

FB

Tips dan panduan memilih laptop yang sesuai

Disebabkan hadirnya banyak jenis laptop (komputer riba) pada zaman ini, hadir keperluan untuk mendapat tips dan panduan memilih laptop yang sesuai apabila anda ingin membeli sebuah.

Tips dan panduan memilih laptop yang sesuai penting kerana ianya akan membantu anda memilih laptop yang sesuai dengan kerja anda, di samping membantu anda menjimatkan wang.  Ini adalah kerana pembelian laptop yang terlalu canggih akan membazir jika anda tidak menggunakannya secara optimum, dan pembelian laptop yang terlalu asas (basic laptop) akan mengakibatkan anda terpaksa membeli yang baharu dalam masa terdekat.

Oleh itu, di sini saya kongsikan tips dan panduan memilih laptop yang sesuai, yang boleh digunakan oleh anda dalam memilih laptop anda.

Sebelum anda membaca selebihnya, artikel ini dikemaskini dari masa ke semasa mengikut peredaran zaman, jadi jangan lupa ikuti PendidikanMalaysia.my di Facebook untuk kemaskini terkini dan perkongsian berkenaan pendidikan di Malaysia.

Tentukan keperluan anda dahulu

Sebelum anda boleh mencari laptop yang paling bagus atau sesuai untuk anda, anda perlu mengetahui bagaimana anda ingin menggunakan laptop tersebut.

Untuk persoalan ini, anda perlu menjawab tiga soalan dibawah:

  1. Apakah kerja – kerja yang paling utama saya akan laksanakan? – Adakah anda akan hanya membuat kerja pejabat seperti MS Word, Excel atau adakah anda akan membuat video atau bermain game?
  2. Adakah saya akan sering membawa laptop tersebut bergerak? – Adakah laptop tersebut akan sering di meja, atau anda akan membawanya ke kelas, dan tempat lain?
  3. Sebesar mana skrin yang saya mahukan? – Pemilihan skrin bari 10.1″, 12.1″, 13.3″, 14″, 15.6″, 16″ dan 17″.

Jawapan kepada tiga soalan diatas akan menentukan harga dan jenis laptop yang anda ingin belikan.

Ini adalah kerana, jawapan kepada kerja utama yang dilakukan dengan laptop itu akan menentukan jenis perkakasan dalam laptop seperti processor dan RAM, manakala pergerakan laptop itu akan menentukan berat laptop tersebut.

Untuk soalan berkenaan skrin, ianya akan menentukan saiz laptop, dimana skrin laptop yang besar akan mempengaruhi harga laptop kelak.

Jenis – jenis laptop

Sesudah anda menentukan keperluan anda, anda kini boleh melihat kepada tiga jenis komputer riba yang ada dalam pasaran yakni netbook, chromebook atau notebook dan laptop.

Saya tidak berapa menekankan perbezaan nama laptop ini kerana setiap laptop kini agar sukar dibezakan jenisnya dan ianya masih bergantung kepada keperluan anda.

Penggunaan terma seperti netbook, ultrabook, laptop dan chromebook tidaklah sepenting anda melihat sendiri spesifikasi laptop yang anda ingin beli. Sungguhpun demikian, bagi tujuan rujukan, anda perlu mengambil perhatian terma di bawah.

  • Netbook – Bersaiz saiz kecil dan ringan dan memiliki spesifikasi yang rendah. Tidak digalakkan kerana ianya terlalu kecil dan perlahan, namun mudah dibawa ke mana- mana.
  • Chromebook Menggunakan perisian Google Chrome sebagai perisian utama. Biasanya berharga murah dan mempunyai saiz serupa laptop. Tidak sesuai untuk kerja – kerja berat dan jika anda tidak mempunyai talian internet stabil.
  • Laptop & notebook – Agak sukar membezakan dengan laptop dan notebook pada masa kini namun kedua – dua ini pada asasnya mempunyai mempunyai kapasiti seiras komputer sebenar dengan kebolehan menyokong pelbagai perisian.  In bermaksud ianya boleh melaksanakan pelbagai kerja dan adalah pilihan terbaik apabila ingin melaksakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).

Memilih processor laptop (CPU)

Processor adalah komponen utama bagi sesebuah laptop.

Secara amnya, terdapat dua syarikat utama yang mengeluarkan processor, yakni Intel dan AMD.

Processor Intel

Di bawah Intel, terdapat beberapa model processor seperti Intel Celeron, Intel Pentium, dan Intel Core-i yang dianggap lebih berkuasa, yakni variasi Intel i3, Intel i5, Intel i5 dan Intel i7.

Secara amnya, Intel Core i9 > intel Core i7 > Intel Core i5 > Intel Core i3 > Intel Pentium/Celeron

Semakin banyak bilangan core pada sesebuah processor, semakin laju processor tersebut (dan semakin mahal).

Selain bilangan core, anda juga perlu mengetahui generasi processor tersebut kerana setiap processor dibuat pada generasi berlainan. Generasi yang lebih baharu seharusnya lebih baik.

Generasi processor tersebut boleh dilihat pada nama processor tersebut seperti “Intel® Core™ i7-11600H Processor” dimana “Intel® Core™ i7-11600H” menunjukkan processor ini adalah jenis Core i7 dari generasi ke-11.

Maklumat “Intel® Core™ i7-10600H Processor” pula menunjukkan bahawa processor ini adalah jenis Core i7 dari generasi ke-10.

Untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan variasi processor Intel, anda boleh membaca artikel berkenaan penamaan processor Intel.

Processor AMD

Bagi AMD pula, processornya terbahagi kepada AMD Athlon dan AMD Ryzen.

Processor Athlon adalah processor asas dari AMD yang mana setara dengan Intel Celeron dan Intel Pentium, manakala processor AMD Ryzen adalah setara dengan Intel Core-i.

Untuk AMD Ryzen, terdapat Ryzen 3, Ryzen 5, Ryzen 7 dan Ryzen 9.

Secara amnya, Ryzen 9 > Ryzen 7 > Ryzen 5 > Ryzen 3 > Athlon.

Mana lebih baik: Invel vs AMD

Dua – dua Intel dan AMD mempunyai kelebihan dan kekurangan masing – masing.

Intel lebih murah jika anda mengambil model processornya yang asas seperti Intel Celeron, Intel Pentium dan Intel Core i3 jika dibandingkan dengan AMD Athlon ataupun AMD Ryzen 5.

Intel juga lebih efisyen berbanding AMD apabila melaksanakan kerja.

Sungguhpun demikian, AMD lebih murah apabila anda mengambil model prosessornya yang berkapasiti tinggi, khususnya variasi Ryzen 5, Ryzen 7 dan Ryzen 9. Contohnya, processor AMD Ryzen 5 adalah jauh lebih murah berbanding Intel Core-i5 walaupun kekuatan kedua – dua processor ini adalah hampir setara.

Bagi saya, perbezaan processor AMD dan Intel tidaklah ketara mana, namun perbandingan harga akan memainkan peranan utama dalam pemilihan jenis processor.

Memilih RAM laptop

RAM atau Random Access Memory adalah ingatan meruap (sementara) pada laptop. Semakin besar RAM, semakin cepat kerja boleh dilaksanakan.

Ini menyebabkan ramai gamers memilih untuk meningkatkan RAM jika dibandingkan dengan mendapatkan processor yang lebih mahal.

RAM yang asas kini adalah 4GB, namun jika anda tidak mahu menaik taraf laptop anda dalam masa terdekat, dapatkan RAM pada jumlah sekurang – kurangnya 8GB.

Memilih kad grafik (graphic card): GPU

Jika anda tidak berhajat bermain game atau membuat kerja – kerja grafik seperti membuat video atau mengedit gambar, anda cuma perlukan kad grafik asas, atau juga dipanggil Integrated Graphic.

Integrated graphics akan menggunakan RAM laptop anda untuk menyokong penghasilan grafik pada komputer anda. Ini bermakna RAM komputer anda akan dikongsikan oleh sistem komputer anda untuk turut menghasilkan grafik pada komputer. Disebabkan perkongsian ini, kerja – kerja yang dilaksanakan adalah terhad dan jika anda membebankan komputer dengan grafik yang terlalu berat (seperti membuat video), kompututer anda boleh menjadi lebih perlahan.

Oleh sebab ini, pembuat video dan gamers biasanya akan memilih laptop yang mempunyai kad grafik khas atau dedicated graphic card.

Biasanya kad grafik khas hadir dalam bentuk Intel Nvidia atau AMD Radeon dengan jenama Intel dilihat lebih popular.

Untuk gamers dan pembuat video, biasanya Intel Nvidia RTX akan memastikan laptop anda mampu berfungsi dengan lancar semasa anda bermain game atau menggunakan perisian yang memerlukan grafik yang hebat.

Memilih kapasiti storan (hard disk)

Terdapat dua jenis kapasiti storan untuk cekera keras (hard disk) pada masa kini yakni HDD dan SSD. Saiz storan laptop biasanya hadir dalam saiz 128GB, 256GB, 512GB, 1TB dan 2TB.

Sesungguhnya, semakin besar storan yang anda miliki, semakin baiklah laptop anda. Sungguhpun demikian, anda perlu merujuk juga kepada teknologi storan yang digunakan.

HDD adalah teknologi lama dan oleh demikian ianya lebih murah.  SSD adalah teknologi baharu.  Kelajuan pemindahan data merupakan perbezaan paling utama antara HDD dan SSD.

SSD memindahkan data dengan jauh lebih cepat berbanding dengan HDD, sekaligus menyebabkannya jauh lebih mahal.  Selain mempercepatkan perpindahan data, penggunaan SSD juga akan mempercepatkan waktu loading laptop serta akses kepada perisian – perisian laptop .

Memilih saiz skrin

Skrin laptop hadir dalam pelbagai saiz, dari 10.1″hingga ke 16″ kini.

Bagi saya, skrin 14″ adalah sudah bagus, tetapi skrin 15.6″ adalah paling sesuai jika anda mahu ‘menjaga mata’.

Ini adalah kerana skrin yang besar akan mengurangkan tekanan pada mata anda.  Disamping itu, skrin besar juga mengurangkan pergerakan tangan kerana anda boleh melihat lebih banyak perkara di satu skrin.

Seharusnya anda tidak keliru dengan saiz skrin dengan saiz laptop kerana saiz skrin boleh besar dengan laptop bersaiz kecil pada era ini.

Cara mengira saiz skrin adalah seperti di bawah.

Kenali sistem operasi laptop

Secara asasnya, terdapat 3 jenis sistem operasi bagi komputer mahupun laptop ; Windows, Chrome Os dan Mac OS X (hanya untuk pengguna Macbook sahaja).

Windows

Windows adalah sistem operasi paling popular di dunia dan ianya digunakan secara meluas di Malaysia.  Windows 10 adalah versi terkini dan Windows 11 bakal keluar Oktober ini.

Kelebihan Windows adalah ianya sesuai digunakan dengan pelbagai aplikasi dan kerana ianya popular, anda mudah mencari sumber rujukan apabila menghadapi masalah.

Chrome OS

Chrome OS merupakan sistem operasi yang dicipta oleh syarikat Google. Ia menggunakan pelayar Google Chrome sebagai antaramuka utamanya.

Chrome OS membantu penggunanya melayari internet dengan lebih cepat dan ianya sesuai bagi pengguna yang sentiasa ada sambungan kepada talian internet berkapasiti tinggi. Jika anda tidak dihubungkan ke internet, anda akan menghadapi masalah menggunakan Chrome OS.

Mac OS X

Mac OS X adalah sistem operasi khas untuk laptop keluaran Apple.

Ianya serupa dengan Windows namun kurang popular kerana harga laptop Apple yang mahal.  Biasanya Mac OS menjadi pilihan pereka grafik dan pembuat video kerana ianya mampu menghasilkan kerja yang berkualiti.

Laptop apa yang bagus?

Laptop yang bagus adalah sebenarnya bergantung kepada jawapan anda kepada soalan di yang saya tanyakan pada awal artikel ini.

Sungguhpun demikian, dibawah adalah saranan saya bagi sebuah laptop mengikut kategori pembelian, yang saya kemaskini pada September 2021.

Salam saranan saya dibawah, saya tidak menyenaraikan laptop melebihi RM5,000 kerana dengan bajet lebih dari RM5,500, anda mempunyai pilihan yang jauh lebih luas dan tidak lagi terkongkong dengan spesifikasi minima.

Saranan saya untuk laptop berkuasa (sesuai untuk gaming/buat video)

Laptop dalam kategori ini boleh melaksanakan kerja – kerja berat seperti memproses video dan digunakan untuk bermain game. Ianya juga boleh digunakan untuk dengan lancar dengan perisian Adobe Photoshop, AutoCAD dan Adobe Premier.

Saranan saya untuk laptop sederhana (PdPR dan proses gambar)

Laptop dalam kategori ini sesuai untuk PdPR, Google Meet, dan Google Classroom dan boleh menjalankan perisian Adobe Photoshop, Wondershare Filmora (proses video) dan game asas.  Sungguhpun demikian, anda penggunaan perisian ‘berat’ ini akan agak perlahan, contohnya rendering untuk penghasilan video akan memakan masa lebih lama berbanding laptop berkuasa tinggi.

Saranan saya untuk laptop asas (sesuai untuk PdPR/Google Classroom)

Laptop dalam kategori ini sesuai untuk PdPR, Google Meet, dan Google Classroom. Ianya sesuai untuk kerja – kerja pejabat, melayari internet dan penggunaan perisian – perisian asas seperti Microsoft 365 (MS Words, MS Excel, MS Power Point). Tidak sesuai untuk perisian Adobe Photoshop atau gaming berat.

Kesimpulan

Akhir kata, sebelum anda membuat pembelian laptop, anda seharusnya memahami dan mengetahui tips dan panduan memilih laptop yang sesuai bagi memastikan anda tidak membazir dan tidak menyesal atas pembelian anda.

Tiada gunanya berbelanja ribuan ringgit jika anda tidak menggunakan kapasiti dan kebolehan laptop tersebut secara optima, dan tiada gunanya juga anda berjimat membeli laptop yang murah jika anda akan kemudian hari perlu menaik taraf laptop yang baru anda beli.

Tentang PendidikanMalaysia.my

PendidikanMalaysia.my merupakan satu laman komuniti berkaitan pendidikan yang berkongsi informasi dan bahan berkenaan pendidikan di Malaysia.

Jika anda ingin berkongsi bahan, hubungi kami di Facebook dan kami berbesar hati berkongsi bahan anda di sini.

Sila LIKE dan FOLLOW kami di Facebook untuk perkongsian terbaharu berkenaan Pendidikan di Malaysia.

Anda juga boleh menghubungi kami untuk menghantar bahan untuk dikongsikan kepada semua pembaca kami melalui email hello@pendidikanmalaysia.my atau dengan menghantar pesanan di laman Facebook kami.

PendidikanMalaysia
PendidikanMalaysia
PendidikanMalaysia.my adalah sebuah laman sumber untuk guru, pelajar dan ibu bapa di Malaysia yang dibangunkan untuk memudahkan perkongsian bahan dan juga maklumat berkaitan sistem pendidikan Malaysia.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PAUTAN PANTAS

- Advertisement -

Latest Articles

- Advertisement -