Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mencatatkan sejarah sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang melancarkan hab pengalaman digital.
Menurut satu perkongsian oleh universiti tersebut, projek ini adalah hasil kerjasama dengan Google for Education.
Hab yang dinamakan UNIMAS Digital Experience Hub ini beroperasi di Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY). Ia merupakan langkah besar dalam usaha universiti untuk meningkatkan transformasi digital.
Inisiatif ini mengandungi tiga elemen utama yang direka untuk memberi manfaat kepada seluruh komuniti universiti dan masyarakat awam.
- Hab Pengalaman Digital akan menyediakan modul latihan serta sijil kepada kakitangan dan pelajar UNIMAS, serta komuniti yang lebih luas. Ini juga bertujuan menjadikan UNIMAS sebagai Universiti Rujukan Google di rantau ini.
- Grab-and-Go Chrome menawarkan kemudahan akses kepada ekosistem Google melalui penyelesaian yang mudah dan fleksibel, khususnya bagi pelajar daripada golongan B40.
- Ruang Penyelesaian Digital pula mempamerkan inovasi dan penemuan teknologi digital daripada UNIMAS, termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang menyokong agenda ekonomi digital Sarawak.
Dengan adanya hab pengalaman digital ini, UNIMAS berharap dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi yang progresif secara digital, meningkatkan pengalaman pembelajaran, serta memberi impak yang signifikan kepada masyarakat.
Sumber berita: UNIMAS

