26.8 C
Kuala Lumpur
Rabu, Disember 10, 2025

FB

KPM bakal tempatkan lebih 10,000 guru baharu untuk pertingkatkan aspek keselamatan di sekolah

- Advertisement -

PUTRAJAYA, 22 OKT 2025 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan beberapa langkah tambahan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi mempertingkat aspek keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin murid di semua sekolah bawah kelolaannya.

Langkah-langkah ini merangkumi peruntukan kewangan, penempatan sumber manusia, dan pengukuhan kerjasama antara agensi, serta semakan semula peraturan sedia ada.

Menurut kenyataanya, KPM telah memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang dikenal pasti di seluruh negara. Ini adalah tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang telah sedia ada untuk tujuan pemasangan CCTV sebelum ini.

Bagi memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan aspek psikososial murid, seramai 10,096 guru baharu akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara pada November 2025. Kumpulan ini termasuk lebih 500 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling.

Selain itu, seramai 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP. Pelantikan ini bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama dan mengurangkan beban tugas Warden Asrama.

KPM akan memperkukuhkan Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kerjasama ini turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah. PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.

Fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan terus diperkasakan untuk membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis. Guru-guru akan diberikan latihan dan pendedahan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah.

Peranan Pengetua dan Guru Besar serta Jawatankuasa Disiplin juga akan ditingkatkan dalam menangani isu-isu disiplin murid di sekolah. Peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa pada masa ini melibatkan kuasa merotan murid, menggantung sekolah, dan membuang sekolah.

Pengetua dan Guru Besar diberi kuasa untuk menurunkan kuasa kepada guru bagi mendisiplinkan murid berdasarkan keperluan. KPM juga memaklumkan bahawa mereka sedang dalam proses menggubal semula peraturan disiplin murid.

Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan diteliti semula untuk tujuan tambah baik, dan sistem ini perlu digunakan secara proaktif untuk mengurus isu disiplin termasuk langkah untuk menanganinya. Institusi pendidikan diminta memberi tumpuan khusus kepada tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu disiplin yang berbangkit.

Suara guru dan murid di sekolah perlu diberi perhatian melalui sesi pertemuan dan dialog untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit. Inisiatif ‘kotak suara murid’ adalah selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah.

Selain itu, KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkukuhkan program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam. Program ini termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk murid.

KPM menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam merealisasikan hasrat mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan.

Sumber: KPM

PendidikanMalaysia
PendidikanMalaysia
PendidikanMalaysia.my adalah sebuah laman sumber, berita dan perkongsian untuk semua dengan fokus khusus kepada pendidikan di Malaysia.

Related Articles

PAUTAN PANTAS

Latest Articles

error: Content is protected !!