Sebanyak lebih dari 1,500 guru baru yang lulus temu duga akan mula bertugas di seluruh Sarawak pada pertengahan Januari 2025, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak (JPNS), Omar Mahli.
Omar dilaporkan berkata demikian dalam berita yang dibawakan TVS.
Menurut beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah menyelesaikan proses temu duga dan keputusan telah disampaikan kepada para calon yang berjaya.
Para calon sudah menerima keputusan masing-masing, dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyemak penempatan melalui sistem e-graduan.
Omar menegaskan bahawa guru-guru baru ini akan mula ditempatkan di seluruh Sarawak menjelang pertengahan Januari depan.
Kenyataan tersebut dibuat oleh Omar selepas kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, bersempena pelantikannya sebagai Pengarah JPNS yang baru menggantikan Datu Dr Azhar Ahmad yang telah bersara pada 14 November lalu.
Sebelum ini, Omar bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) di Kementerian Pendidikan di Putrajaya.
Omar menyatakan bahawa daripada lebih 12,000 calon yang melepasi saringan, hanya 1,500 calon yang diperlukan, dengan lebih dari 300 orang akan ditempatkan di sekolah menengah manakala selebihnya di sekolah rendah.
Mengulas mengenai perancangannya sebagai Pengarah JPNS, Omar menekankan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).
Kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak akan diteruskan termasuk mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan untuk menjelaskan dasar pendidikan serta program baharu yang mungkin menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Penempatan guru-guru baru ini diharapkan dapat memperkasakan sektor pendidikan di Sarawak terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sering mengalami kekurangan guru.
Omar juga mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak dan Kerajaan Sarawak atas sokongan mereka terhadap JPNS.