Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, telah mengumumkan bahawa guru kini boleh memohon pindah selepas berkhidmat selama dua tahun tanpa sebarang syarat tambahan.
Pengumuman penting ini dibuat semasa sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 yang berlangsung di Kuching.
Langkah ini diharapkan dapat memberi fleksibiliti yang lebih besar kepada guru dalam kerjaya mereka dan membantu mereka untuk berkhidmat di lokasi yang lebih sesuai dengan keperluan peribadi dan keluarga mereka.
Sebelum ini, guru perlu menunggu agak lama untuk pindah, dengan kebenaran khas berpindah hanya dibenarkan apabila memenuhi syarat-syarat khas yang ditetapkan.
Selain itu, Menteri Fadhlina turut menekankan tentang kepentingan kesejahteraan guru.
Beliau memaklumkan bahawa Indeks Kesejahteraan Guru menunjukkan skor yang ‘baik’ iaitu 77.65.
Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam aspek ini.
Kementerian Pendidikan komited untuk terus berusaha meningkatkan kesejahteraan guru melalui pelbagai inisiatif dan sokongan.
Sebagai langkah tambahan untuk menyokong guru, Kementerian Pendidikan akan melantik 1,470 pembantu guru MyPG pada tahun 2025.
Sekolah-sekolah yang terpilih akan menerima dua orang pembantu setiap satu. Pembantu guru ini akan membantu guru dalam tugas-tugas pentadbiran dan pengurusan bilik darjah, membolehkan guru untuk memberi tumpuan yang lebih kepada pengajaran dan pembelajaran.
Sumber: BP