Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 untuk sesi persekolahan 2024/2025 bermula pada 13 Januari 2025.
Menurut laporan Malaysia Gazzette, agihan BAP bagi murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 akan bermula pada 16 Februari 2025, manakala agihan bagi murid Tingkatan 6 baharu akan bermula pada 1 Julai 2025.
Agihan BAP kepada murid akan dilakukan oleh pihak sekolah melalui serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah) atau ibu bapa/murid (sekolah menengah); atau pengkreditan ke akaun bank murid; atau pengkreditan ke akaun bank ibu bapa (bermula dari 2025).
Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara sekali bayar, memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid.
Tahun ini, buat pertama kali, inisiatif BAP akan turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6.