Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengingatkan pihak sekolah supaya terus memperketat prosedur operasi standard (SOP) yang kini diamalkan di sekolah bagi mengekang penularan COVID-19.
Ibu bapa juga diminta memberi kerjasama dengan mengingatkan anak – anak supaya akur kepada SOP yang telah diberikan.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, pihaknya akan merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapatkan sebarang pandangan dan langkah yang perlu diambil jika wujud sebarang masalah berkaitan COVID-19.
“Dalam konteks COVID-19, seperti saya jelaskan sekiranya berlaku apa-apa, kita merujuk kepada Pusat Kesihatan Daerah kerana pihak berkenaan lebih pakar.
“Apa saja pandangan, kita di Kementerian Pendidikan (KPM) akan mematuhi nasihat berkenaan demi keselamatan anak-anak.
“Apa yang penting, ibu bapa harus mengingatkan anak-anak mematuhi SOP. Kami juga memberi penekanan pematuhan ini kepada seluruh warga sekolah termasuk guru,” katanya.
Mohd Radzi berkata pihaknya sedar bahawa sekarang waktu sukar untuk seua warga KPM namun pihaknya setakat ini berjaya menghadapinya dengan baik.
“Ini satu masa yang sukar, namun Alhamdulillah kita melihat bagaimana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar apabila SOP dipatuhi dengan baik.
“Pada masa sama, kita dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan selamat,” katanya.