Maxis, syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia, telah melancarkan Program Biasiswa Maxis 2024 untuk memperkasa pelajar melalui sokongan kewangan komprehensif bagi membantu perjalanan akademik mereka.
Program ini memberi fokus kepada pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), yang menggabungkan bantuan kewangan dengan pendedahan industri bagi melahirkan pemimpin masa depan.
Program ini terbuka kepada pelajar tahun pertama sarjana muda yang sedang menjalani
pengajian di Malaysia dan Singapura, dengan bantuan yang meliputi yuran pengajian serta kos sara hidup.
Selain bantuan kewangan, penerima biasiswa akan berpeluang menjalani latihan industri dan dijamin penempatan kerja bersama Maxis selepas tamat pengajian.
Program yang layak memohon biasiswa Maxis 2024
Bidang pengajian ijazah yang layak untuk program ini termasuk Kejuruteraan (Rangkaian, Telekomunikasi, Perisian, Mekanikal, Elektrik, Elektronik); Teknologi (Kecerdasan Buatan, Pengkomputeran Awan, Sains Komputer, Keselamatan Siber, Sains Data, IT); Matematik, Statistik atau Sains Aktuari; dan Perakaunan, Kewangan, atau Ekonomi.
Syarat biasiswa Maxis 2024
Antara syarat yang perlu dipenuhi adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia berusia antara 18 hingga 23 tahun, telah mendapat kemasukan ke institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf di Malaysia atau Singapura, dan telah mendaftar atau sedang mengikuti pengajian
tahun pertama sarjana muda mereka.
Selain daripada syarat akademik, pemohon juga akan dinilai secara holistik berdasarkan aktiviti kokurikulum, kemahiran kepimpinan, dan kemahiran komunikasi mereka.
Tarikh tutup permohonan
Permohonan kini dibuka sehingga 31 Oktober 2024.
Menurut Maxis, penekanan pada pendidikan STEM mencerminkan komitmen Maxis untuk memacu agenda digital negara.
Sehingga kini, Maxis telah membantu lebih daripada 330 pelajar melalui program biasiswa
mereka.
Untuk maklumat lanjut berkenaan biasiswa Maxis, sila ke laman INI.