Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini mengumumkan Pakej Remaja yang ditawarkan sebelum ini untuk remaja berumur 12 hingga 24 tahun telah diperluaskan kepada golongan belia berumur sehingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran.
Menurut kenyataan KKD, pakej yang kini dikenali sebagai Pakej Perpaduan itu akan menyaksikan penggunanya menikmati penurunan harga pakej telekomunikasi bagi langganan prabayar Internet mudah alih berbanding pakej semasa di pasaran pada Februari 2023.
Penurunan harga ini meliputi langganan pakej prabayar yang disediakan oleh lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Pakej Perpaduan ini akan dikenakan harga RM30 dengan kelajuan Internet mudah alih daripada 1Mbps ke 3Mbps.
Selain itu, kuota internet juga dinaikkan daripada 20GB untuk tiga bulan (90 hari) kepada 30GB selama enam bulan (180 hari).
KKD dalam pada itu mengumumkan bahawa penyedia perkhidmatan akan membuat pengumuman lanjut mengenai Pakej Perpaduan kepada para pengguna dalam masa terdekat.