Kerajaan Sarawak telah menyatakan bahawa mereka terbuka menerima sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.
Sungguhpun demikian, Sarawak berharap bahawa autonomi dalam pendidikan dapat diberikan kepada kerajaan itu.
Menurut laporan Berita Harian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, seluruh rakyat Sarawak mengharapkan autonomi tersebut diberikan kepada Sarawak.
“Bagi mewakili rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Bidayuh, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 dan kami berharap dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Pada masa sama, kami berdoa agar Sarawak diberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap autonomi pendidikan kerana ia aspirasi semua rakyat Sarawak,” katanya dalam laporan oleh akhbar Berita Harian itu.
Sungguhpun memohon autonomi dalam bidang pendidikan, kerajaan Sarawak masih berharap peruntukan yang diperlukan dalam bidang tersebut masih disediakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan.