Garis panduan media sosial guru dan pendidik atau nama penuhnya, Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial bagi Guru dan Murid telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui satu pekeliling pada 23 Jun 2017.
Garis panduan ini dibuat rentetan daripada kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan media sosial dalam kalangan guru dan murid.
Garis panduan ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Profesional KPM Bil.02/2017 pada 12 Januari 2017, dan tarikh kuat kuasa adalah pada 23 Jun 2017.
Tujuan Garis panduan penggunaan media sosial guru dan pendidik
Oleh itu, garis panduan media sosial guru dan pendidik adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan media sosial yang membawa kepada pelbagai keburukan terutamanya dalam penyebaran fitnah dan perkongsian maklumat kurang tepat.
Dalam pada itu, panduan ini bertujuan menerangkan tatacara, peraturan dan kawalan kandungan media sosial yang perlu dipatuhi oleh guru supaya
- penyebaran dan perkongsian maklumat terkawal;
- maklumat yang dipaparkan tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan awam dan kedaulatan negara;
- isu salah laku dan penyebaran maklumat tidak beretika di media sosial dapat dielakkan;
- maklumat yang disampaikan adalah jelas dan tepat; dan
- kesejahteraaan sistem pendidikan di Malaysia terpelihara.
Pemilihan kandungan media sosial untuk kegunaan rasmi
Tatacara berikut perlu dipatuhi semasa memilih kandungan media sosial untuk kegunaan
rasmi insititusi pendidikan oleh guru adalah seperti di bawah.
- Maklumat perlu tepat, sahih dan tidak mempunyai unsur fitnah.
- Bahan-bahan rasmi yang hendak dimuat naik hendaklah disemak dan mendapat
pengesahan/kelulusan daripada ketua jabatan di institusi pendidikan. - Perhatian perlu diberi terhadap setiap komen/pernyataan atau maklumat yang
dikongsi di media sosial bagi menjaga imej dan rahsia Kerajaan.
Etika Penggunaan Media Sosial Guru dan Pendidik
Guru boleh memanfaatkan penggunaan media sosial secara positif untuk tujuan:
- meningkatkan pengajaran dan pembelajaran bagi menambah baik kualiti sistem
pendidikan; - membolehkan warga pendidik berkomunikasi secara pantas tanpa sempadan dengan pemegang taruh untuk memastikan keputusan serta tindakan dapat dilaksanakan dengan segera; dan
- menghubungkan guru dengan kumpulan sasaran secara meluas daripada pelbagai latar belakang sama ada yang berada di dalam atau di luar negara bagi meningkatkan sistem penyampaian pendidikan.
Sekiranya terdapat kesilapan pada sebarang maklumat yang telah dihebahkan, hendaklah sebaik-baiknya mengakui pada umum, membuat pembetulan dan memohon maaf kepada pihak yang berkaitan secara terus dalam laman sosial yang terlibat.
Guru dilarang menggunakan media sosial untuk tujuan di bawah.
- mendedahkan maklumat rasmi yang terkandung dalam dokumen sulit/dokumen terhad kerajaan kepada pihak umum;
- memberikan atau berkongsi komen negatif tentang isu-isu yang melibatkan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia, kepimpinan sekolah dan rakan sekerja;
- membuat sebarang pernyataan yang menyentuh perkara yang boleh menjejaskan imej dan dasar Kerajaan, maklumat berbentuk fitnah, hasutan dan lucah atau cuba memprovokasikan sesuatu isu yang menyalahi peraturan dan undang-undang atau perkara yang menyentuh sensitiviti individu atau kumpulan tertentu yang boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni;
- menyebarkan maklumat yang tidak sahih;
- menyebarkan hasil kerja guru lain atau kerja murid yang boleh mengaibkan;
- berkongsi kenyataan yang menyentuh isu-isu sensitif politik, agama, kaum dan individu terutama kepada isu yang boleh mengancam keselamatan negara;
- melayan komunikasi dengan pihak yang agresif dan kasar;
- melibatkan diri dengan aktiviti yang boleh membawa kepada jenayah sosial dan seksual;
- melibatkan diri dengan perniagaan bahan-bahan yang berisiko buruk atau berbahaya;
- melibatkan diri dengan aktiviti yang boleh menjurus kepada CyberStalking atau CyberHarassment; dan
- menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi semasa waktu pejabat sama ada menerusi peralatan komputer / alat mudah alih yang dibekalkan oleh pejabat / melalui peralatan peribadi.
Waktu penggunaan media sosial untuk guru dan pendidik
Penggunaan akaun peribadi media sosial dalam kalangan guru semasa dan di luar waktu persekolahan tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuat kuasa bagi memastikan penggunaan media ini tidak menjejaskan perkhidmatan awam, pegawai awam dan keselamatan murid.
Sumber dan pautan berkaitan
- PANDUAN membeli laptop
- BELI telefon pintar
- Pekeliling dan buku panduan Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial
- Akta Rahsia Rasmi 1972;
- Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993;
- Tatasusila Profesion Perguruan, Malaysia;
- Akta Komunikasi dan Multimedia 1998;
- Akta Perlindungan Data Peribadi 2010;
- Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU bertarikh 17 Julai 2009 bertajuk “Pelaksanaan Blog bagi Agensi Sektor Awam”;
- Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU bertarikh 19 November 2009 bertajuk
“Penggunaan Media Jaringan Sosial di Sektor Awam”;
Comments are closed.