PADANG RENGAS: Kerajaan Perak mengakui pengedaran 20,000 telefon pintar kepada pelajar dari keluarga B40 bagi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) adalah dikhususkan untuk pembelajaran semata-mata.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, bagaimanapun perkara itu setidak-tidaknya dapat mengelakkan daripada penyalahgunaan peranti terbabit bagi tujuan seperti bermain permainan video.
“Suka untuk saya maklumkan bahawa selepas menelusuri kajian penggunaan peranti sebelum ini, maka ia disediakan hanya khusus untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) termasuk melalui aplikasi pembelajaran dinamakan ‘Frog Play’.
“Iaitu aplikasi yang mengandungi pelbagai kuiz ulang kaji untuk semua mata pelajaran teras yang diajar di sekolah daripada Tahun Satu sehingga Tingkatan Enam yang dapat diakses 24 jam sehari.
“Tetapi sekiranya pelajar merungut telefon diberikan ini perlahan atau kualitinya tidak baik, saya percaya mungkin pelajar menggunakannya untuk bermain game dalam talian dan sebagainya memandangkan prestasi peranti ini sememangnya akan terjejas jika dipasang dengan aplikasi berat seperti ‘game’.
“Justeru saya sarankan agar pelajar serta ibu bapa yang menerima pakej rangsangan telefon pintar TCS ini supaya menggunakannya sebaik mungkin khusus untuk PdPR dan tuisyen dalam talian (menggunakan aplikasi FrogPlay),” katanya dalam sidang media sempena agihan peranti itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau, hari ini.
BACA BERITA PENUH DI HARIAN METRO ATAU BACA BERITA BERKENAAN TELEFON PINTAR DI PHONESENTRAL.COM