Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kebangsaan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengubah tarikh untuk mengumumkan keputusan SPM bagi tahun 2023.
Menurut Presiden STU Kullin Djayang dalam artikel Utusan Borneo, pengumuman keputusan SPM pada 27 Mei 2024 adalah kurang sesuai kerana tarikh tersebut jatuh pada hari Isnin minggu pertama cuti persekolahan. Menurut Kullin, tarikh tersebut adalah pada masa sama guru-guru di Sarawak dijangka memulakan perjalanan balik ke kampung halaman memandangkan cuti bagi perayaan Kaamatan dan Gawai pada kali ini adalah lebih pendek berbanding tahun-tahun sudah.
Kullin juga berkata kaum Dayak di Sarawak biasanya akan balik kampung seiisi sekeluarga untuk merayakan Hari Gawai yang jatuh pada 1 Jun 2024 dan ada segelintir keluarga akan mengambil masa satu atau dua hari, malah ada yang sampai tiga hari perjalanan balik kerana lokasi sekolah dengan kampung halaman yang jauh.
Oleh yang demikian, Kullin berpendapat KPM tidak harus menggangu cuti kali ini kerana ianya cuma 11 hari.
Dalam perkembangan sama NUTP juga mengeluarkan kenyataan ringkas dengan berkata “NUTP merayu Kementerian Pendidikan Malaysia agar mengeluarkan keputusan SPM Tahun 2023 lebih awal iaitu pada 23 Mei 2024 (Khamis) sebelum cuti sekolah.” di laman rasminya.
Pada hari ini, KPM telah mengumumkan bahawa keputusan SPM 2023 akan dikelaurkan pada 27 Mei 2023, yakni pada hari Isnin pada minggu pertama cuti persekolahan.