Kolej Laila Taib kini menawarkan pendidikan percuma di perngkat diploma untuk tujuh kursus terpilih.
Menurut laporan TVS, kolej yang terletak di Bahagian Sibu membuka tawaran tersebut kepada anak Sarawak dan warganegara Malaysia yang berkelayakan.
Laporan TVS memetik Pegawai Pemasaran Kolej Laila Taib, Dennis Meringgai sebagai berkata bahawa tawaran biasiswa untuk pelajar Bumiputera Sarawak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut diberikan secara percuma.
Tajaan tersebut merangkumi yuran pengajian serta kemudahan tempat tinggal sepanjang tempoh pengajian di kolej berkenaan.
Antara syarat yang melayakkan seseorang mendapat pendidikan percuma tersebut adalah kredit dalam tiga mata pelajaran terpilih dan wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.
Bagi yang berkelayakan, mereka akan ditawarkan terus memasuki Kolej Laila Taib bagi sesi kemasukan Jun 2024.
Untuk maklumat, Kolej Laila Taib menawarkan tujuh program diploma buat masa ini iaitu perakaunan, pengurusan perniagaan, seni bina, seni bina dalaman, ukur kuantiti, kejuruteraan elektrik dan elektronik serta kejuruteraan awam.
Tempoh pengajian adalah selama dua tahun empat bulan dan pengambilan kemasukan ke kolej yang bertempat di bandar Sibu itu terbahagi kepada tiga sesi yakni Mac, Jun dan November.
Kolej Laila Taib merupakan satu institusi di bawah Yayasan Sarawak dan telah beroperasi selama lebih 14 tahun.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh ke laman web rasmi Kolej Laila Taib.