Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 16 Ogos 2024 mengumumkan perincian mekanisme dan cara kira gaji baharu penjawat awam 2024 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang mana akan memberi impak kepada lebih 1.5 juta penjawat awam di Malaysia.
Menurut Anwar, kenaikan gaji akan dilaksanakan dalam dua peringkat, dengan seseorang penjawat awam menikmati gaji baharu seawal Disember 2024 dengan julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda.
Pengumuman khas berkenaan perincian mekanisme pengiraan gaji tersebut dibuat ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pengenalan
Pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah mengumumkan bahawa gaji penjawat awam akan disemak semula susulan ketiadaan semakan semula sejak tahun 2013.
Pada ketika itu, cara kira gaji baharu penjawat awam 2024 belum dimaklumkan.
Dalam pada itu, perdana menteri menyatakan perkara di bawah ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke-19 pada 16 Ogos 2024.
- Sistem Saraan Malaysia (SSM) diganti kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai 1 Disember 2024
- Ganjaran hanya diberikan pada kakitangan awam yang berkhidmat dengan setia, amanah dan cemerlang
- Jangan pandang ringan dan remeh soal nilai dan integriti yang menjadi tonggak perkhidmatan awam
- Kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam dipertingkat kepada SPM atau setara
- PM Anwar mahu suatu ikhtiar, iltizam serta pentadbiran baharu dilaksanakan tanpa tolak ansur oleh penjawat awam
- Kerajaan rakam penghargaan kepada Tan Sri Mohd Zuki Ali atas perkhidmatan cemerlang sepanjang dilantik sebagai KSN
- Pelaksanaan SSPA adalah satu keputusan adil kepada penjawat awam, bukan tarik minat dan sokongan
- Kerajaan akan melaksanakan Rasionalisasi Pejabat-Pejabat Perwakilan dan Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di Luar Negeri berkuatkuasa pada 1 Januari 2025
- Kerajaan akan laksana sistem penilaian prestasi tahunan baharu bagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan kepada MyPERFORMANCE
- Ketua Jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya akan dikenakan tindakan tatatertib, jejaskan peluang kenaikan pangkat
- Kerajaan bersetuju untuk menambah baik aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib
- Kenaikan pangkat, penempatan pegawai berpadanan dengan kompetensi sesuatu perjawatan (right person for the right post)
Tarikh Pelaksanaan gaji baharu 2024
Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sekaligus akan menyaksikan pelarasan gaji bagi pegawai awam akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Menurut Anwar, kumpulan pengurusan tertinggi akan menikmati kenaikan sebanyak 7% dalam tempoh dua fasa tersebut, dan Kumpulan Pelaksana dan Pengurusan Profesional akan menerima kenaikan sebanyak 15%.
Fasa pertama pelaksanaan adalah pada 1 Disember 2024, manakala fasa kedua pelaksanaan adalah pada 1 Januari 2026.
Pada fasa pertama, Kumpulan Pelaksana dan Pengurusan Profesional akan menerima kenaikan 8% pada 1 Disember 2024, manakala bagi Fasa Kedua, kumpulan sama akan menerima kenaikan 7% berdasarkan gaji pokok pada 1 Januari 2026.
Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Fasa Pertama pada 1 Disember 2024 akan menyaksikan mereka mendapat kenaikan 4%, manakala Fasa kedua pula akan menyaksikan kenaikan gaji sebanyak 3%.
Kalkulator pengiraan gaji baharu penjawat awam SSPA 2024
Bagi memudahkan penjawat awam mendapatkan anggaran kenaikan yang bakal diterima, pihak kerajaan telah menyediakan kalkulator khas untuk mengira kenaikan yang diumumkan.
Ianya boleh diakses di pautan di bawah.
Kalkulator diatas walaubagaimanapun tidak mengambil kira elaun yang dinikmati penjawat awam dan hanya melibatkan gaji kasar seseorang pegawai. Adalah dijangkakan kenaikan gaji di bawah SSPA akan juga mempengaruhi elaun yang diterima penjawat awam.
Video pengumuman
Anda boleh melihat video keseluruhan pengumuman perdana menteri di bawah.