Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menyatakan akan menangani masalah berbangkit pelaksanaan program Dual Language Programme (DLP) di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang.
Menurut kenyataan kementerian itu, isu bantahan pengendalian program DLP yang dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang sedang ditangani secara proaktif oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang yang mana telah mengambil langkah memulakan sesi libat urus dengan semua pihak terlibat.
Sebelum ini, laporan media menyebut bahawa beberapa sekolah di Pulau Pinang tidak dapat mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan Pelaksanaan Dual Language Programme Tahun 2024 bertarikh
19 Mac 2024.
Di dalam pekeliling tersebut, sesebuah sekolah hendaklah memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu kelas di setiap Tahun/Tingkatan yang melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan bahasa Kebangsaan/bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 untuk sesi persekolahan baharu mulai tahun 2024/2025.