Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memberi peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta sekolah-sekolah berkaitan Surat Siaran KPM Bil 17/2015 tentang isu Larangan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape di sekolah.
Menurut kementerian itu, pihak kementerian bersama agensi berkaitan pro-aktif dalam menangani isu tersebut melalui perhimpunan, kelas ganti, bimbingan kelompok, kempen anti merokok atau vape, ceramah, pameran serta melalui aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah.
“Melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2001: Pemantapan Pengurusan Disiplin di Sekolah, pengetua dan guru besar disarankan mengambil langkah-langkah yang berkesan bagi memantapkan pengurusan disiplin serta kaunseling di sekolah.
“KPM bersama-sama JPN, PPD dan sekolah dengan kerjasama agensi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan Program Lima (5) Minit Antirokok atau Vape yang dilaksanakan dalam perhimpunan, kelas ganti, bimbingan kelompok, kempen anti merokok atau vape, ceramah, pameran serta melalui aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah.
“Ia bertujuan untuk menerapkan nilai kesedaran, membentuk jati diri serta mempunyai daya tahan yang tinggi dalam kalangan murid,” kata KPM dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, KPM juga memaklumkan mereka akan memperluaskan dan mempergiatkan program IMFree bagi terus menangani isu vape.
“Program berkenaan merupakan salah satu program pendidikan dan pencegahan amalan merokok dalam kalangan murid sekolah rendah yang bertujuan melahirkan murid khususnya mereka yang lahir pada tahun 2009 dan ke atas kekal tidak merokok sepanjang hayat.” kata KPM dalam kenyataan medianya.

