Takwin sekolah di Malaysia akan kembali bermula pada bulan Januari seperti sebelum ini pada tahun 2026.
Menurut kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pengembalian takwin sekolah itu dibuat setelah meneliti cadangan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.
Dalam pada itu, tindakan KPM itu adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada satu ratus sembilan puluh (190) hari.
Dalam pada itu, KPM menyatakan ianya akan melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan yang akan dilaksanakan.
Pengembalian takwin sekolah Malaysia kepada Januari akan dibuat secara berperingkat dengan KPM menetapkan kalendar akademik persekolahan sesi 2025 bermula pada bulan Februari 2025 sebelum sesi 2026 dimulakan pada bulan Januari 2026.
Untuk makluman, kalendar akademik 2024 dikekalkan bermula pada Mac 2024 seperti yang dirancang sebelum ini.