Jika anda melanggan pelan Youtube Premium pelan Keluarga (Youtube Premium Family plan), anda akan mengalami pertambahan kos dalam langganan anda bermula 28 Jun 2023.
Ini berikutan keputusan Youtube, atau Google, menambahkan harga bagi setiap langganan kepada pelan tersebut.
Kini pelan Keluarga ini dicaj RM26.90 sebulan. Akaun pelan keluarga ini boleh digunakan oleh lima orang sekeluarga dengan akaun Google yang berlainan.
Sungguhpun demikian, pelan premium ini bakal dinaikkan harga pada bulan Jun kelak, dengan pertambahan sebanyak 26 peratus.
Pertambahan harga ini bakal menyaksikan pelan Keluarga berharga RM33.90, RM7 lebih tinggi dari sebelumnya.
Youtube Premium Keluarga masih murah
Setakat ini, Google tidak ada menyatakan punca kenaikan harga tersebut dan tidak ada kelebihan lain diberikan susulan kenaikan harga tersebut.
Malah, cuma pelan Keluarga Youtube ini sahaja yang dinaikkan harga oleh Google. Pelan – pelan premium lain terus mengekalkan harga mereka yang sedia ada setakat ini.
Biarpun kenaikan ini agak signifikan, kos perbelanjaan bagi Family plan ini masih paling murah diantara pelan – pelan lain Youtube Premium jika dianggarkan dari segi kos perseorangan.
Sebagai perbandingan, seorang ahli keluarga hanya dikenakan RM6.78 sebulan jika melanggan Youtube Premium bersama pelan Keluarga berbanding RM17.90 sebulan untuk pelan Youtube Premium individu dan RM10.90 sebulan untuk pelan Youtube Premium pelajar.