Tetikus (mouse) adalah sebuah perkakasan yang cukup penting apabila kita menggunakan komputer, dan Logitech POP Mouse adalah satu daripada tetikus yang kini sedang menarik minat ramai kerana warnanya yang ‘lain daripada yang lain’.
Di sini saya memberikan ulasan berkenaan tetikus ini selepas menggunakannya selama seminggu lebih.
Spesifikasi
Spesifikasi tetikus buatan Logitech ini adalah seperti dibawah.
- Teknologi sensor: Logitech High Precision Optical Tracking dengan Dpi range: 1000-4000, nominal value 1000 dpi
- Bilangan butang: 4
- Bateri yang digunakan: 1 x Bateri AA
- Jangka hatyat penggunaan batteri: 24 bulan
- Jangkauan tanpa wayar: 10m
Kelebihan Logitech POP Mouse
Jika anda bukan jenis yang mengambil berat sangat berkenaan tetikus yang anda gunakan, maka, mungkin anda tidak akan terlalu memikirkan kelebihan sesebuah tetikus seperti Logitech POP Mouse ini.
Sungguhpun demikian, saya amat menitikberatkan keselesaan menggunakan tetikus, dan oleh yang demikian sering melihat kepada kebaikan yang mampu ditawarkan sesebuah tetikus.
Bagi POP mouse ini, kelebihan yang nyata adalah seperti saya senaraikan dibawah.
- WARNA – Terdapat tiga pilihan warna terang dan menarik bagi tetikus Logitech ini. Bagi saya warna sebegini sesuai untuk sesebuah tetikus kerana ianya biasanya disimpan dalam beg yang gelap. Warna terang bukan sahaja menyerlahkan tetikus ini tetapi juga membuatkan ianya mudah dicari.
- SAIZ – Saiz tetikus ini memadai untuk dibawa ke mana – mana. Ianya juga agak nipis dan ini memudahkan ianya diselit ke dalam beg. Ianya hanya berketinggian 1.3-inci sahaja.
- BERAT – Sesetengah tetikus terlalu berat sehinggakan anda merasakan ianya satu beban apabila digunakan dan dibawa, dan ada juga yang terlalu ringan sehingga ianya terasa terlalu murah. Berat tetikus Logitech ini memadai untuk penggunanya merasakan ianya adalah ‘premium’.
- KETAHANAN BATERI – Tidak seperti tetikus lain, bateri tetikus Logitech ini mampu bertahan selama dua tahun.
- MUDAH DIHUBUNGKAN – Kadang – kadang ianya amat leceh untuk menghubungkan (pair) peranti yang menggunakan fungsi Bluetooth. Sungguhpun demikian, tetikus Logitech ini amat mudah dihubungkan dan terus berjaya dicari/dikesan oleh komputer apabila ianya sudah dipasangkan (ON).
- KEBOLEHGUNAAN – Tetikus ini boleh dihubungkan dengan tiga peranti atau peralatan berlainan dengan mudah. Jika anda sudah menghubungkan tetikus ini dengan peranti yang anda miliki, anda hanya perlu menekan satu butang di bahagian bawah tetikus untuk menukar hubungan tetikus ini pada peranti yang ada.
- SENYAP – Bagi saya, ini bukanlah satu isu besar, namun ada diantara anda mungkin suka akan kesenyapan apabila melakukan klik dengan Logiteck POP Mouse ini.
Masalah Logitech POP Mouse
Ada beberapa perkara yang saya kurang suka berkenaan tetikus ini.
Antaranya adalah kesenangan penutup atasnya terbuka. Ini bermaksud penutup atas tetikus ini mudah hilang dan tertanggal ketika dalam simpanan, khususnya di dalam beg.
Selain itu, saya juga merasakan fungsi ‘Emoji’ yang digembar – gemburkan hanyalah satu gimik pemasaran yang tidak praktikal dan memerlukan pengubahsuaian kepada tetapan yang sekadar menyusahkan diri sendiri.
Harga dan tempat membeli
Tetikus ini boleh dibeli di kebanyakan kedai komputer dengan harga RM159 di pasaran tempatan.
Sungguhpun demikian, jika anda membelinya secara dalam talian, anda boleh mendapatkannya dengan harga lebih murah, khususnya apabila berlakunya promosi – promosi khas seperti 11.11, 12.12, dan sebagainya. Harga promosi biasanya sekitar RM99 – RM115.
Kesimpulan
Secara kesimpulanya, tiada yang terlalu hebat berkenaan tetikus Logitech ini.
Tiga kelebihan paling utamanya hadir dari segi ketahanan bateri, kemudahan dihubungkan secara Bluetoothnya dan juga warnanya yang terang.
Selain itu, tetikus Logitech POP ini adalah seperti kebanyakan tetikus lain, khususnya tetikus Logitech yang kini sudah dijual dengan banyaknya di luar sana.