Di sini saya akan memberi sedikit ulasan berkenaan laptop Asus ROG Zephyrus G14 GA401 dan penggunaannya dalam kerja sebagai seorang guru mahupun pelajar.
Laptop ini dikategorikan sebagai komputer gaming (khusus untuk bermain permainan komputer) namun ianya juga bagus digunakan sebagai komputer untuk kerja – kerja pengeditan video dan kerja – kerja berkaitan pengajaran dan pembelajaran.
Sebelum saya mengulas lanjut berkenaan kelebihan komputer ini, ada baiknya saya kongsikan spesifikasi utama komputer jenama Asus yang saya perolehi untuk pengujian.
- Saiz skrin: 14″ FHD IPS Panel 120Hz Anti-glare
- Processor: AMD Ryzen™ 5 4600HS
- RAM: 16GB DDR4 3200MHz SDRAM (Asal adalah 8GB tetapi telah dinaik taraf)
- Storage: 512GB M.2 NVMe PCIe 3.0 SSD
- GPU: NVIDIA GeForce GTX1650 GDDR6 4GB
- OS: Windows 10 Home
- Berat : 1.65kg
- Saiz: 32.4cm X 22.2cm X 1.79cm
Untuk makluman, laptop ini juga hadir dalam processor dan GPU yang berbeza yang mana akan dijual pada harga berlainan.
Kelebihan Asus Zephyrus G14 GA401
Apabila membeli sebuah laptop, khususnya untuk tujuan kerja, kelebihan laptop perlu diberi perhatian.
Antara kelebihan laptop jenama Asus ini adalah:
- Ringan – Dengan berat 1.65kg, laptop ini adalah antara laptop dengan kad grafik sendiri (GPU) yang paling ringan di pasaran.
- RAM – RAM membawa kesan secara langsung kepada kelajuan laptop tersebut beroperasi, dan 8GB (RAM asal) adalah sudah memadai. Sungguhpun demikian, dengan menambahnya kepada 16GB, pemprosesn video boleh dibuat dengan lebih padu lagi.
- GPU berasingan – Laptop ini mempunyai kad grafik (GPU) yang berasingan. Ini bermaksud laptop ini sesuai untuk kerja – kerja pembuatan video dan juga bermain permainan komputer. Jika kad grafik komputer adalah jenis ‘on board‘, ini bermaksud kebolehan grafiknya dikongsi bersama sistem dan ini akan melambatkan proses ‘rendering‘ video ketika suntingan video dibuat.
- Pengimbas jari – Bagi menambahkan keselamatan, laptop ini hadir dengan pengimbas jari. Ini bukan sahaja memudahkqan proses untuk masuk ke laptop tersebut tetapi menambahkan ciri keselamatan peranti ini.
- Ketahanan bateri – Asus menganggarkan bateri laptop ini boleh bertahan selama hampir 14 jam apabila ianya digunakan untuk tujuan melayari internet. Ini adalah jangkamasa yang sangat lama dan sesuai jika anda malas ingin membawa kabel pengecasnya.
- Storan SSD – Storan SSD yang dibekalkan adalah 512GB dan walaupun ianya tidak banyak, namun kepantasan teknologi SSD untuk cekera keras (Harddisk) bagai langit dengan bumi berbanding storan biasa. Hasilnya, membuka laptop serta memindahkan dokumen dalam komputer mengambil amat pantas.
Kekurangan Asus ROG Zephyrus G14 GA401
Tidak semua berkenaan laptop Zephyrus G14 GA401 ini baik.
Berikut adalah beberapa kekuranganya.
- Saiz skrin – Laptop bersaiz skrin 15.6-inci kini tidaklah besar mana, dan oleh itu laptop 14-inci seperti ini dilihat agak kecil dan ini mungkin menyukarkan anda melihat kerja yang anda lakukan.
- Harga – Laptop ini berharga RM4,000 dan keatas walaupun ianya menggunakan processor Ryzen. Tidak ramai yamg sanggup berbelanja sebanyak itu untuk sebuah komputer.
- Tiada Webcam – Satu kekurangan paling besar laptop ini adalah ianya tidak memiliki sebarang webcam. Masalah ini boleh diatasi dengan pembelian webcam (seperti Webcam Lenvo) namun ianya pasti lebih baik sekiranya webcam tersebut sememangnya sudah ada pada komputer ini.
Harga dan tempat pembelian
Laptop Asus ini dijual bermula RM4,299 dan boleh mencapai harga lebih tinggi bergantung dengan naik taraf yang anda kehendaki.
Biasanya, processor dan RAM akan menaiikan harga laptop ini. Jika berkemampuan, mengambil samada Ryzen 7, Ryzen 9, Intel i7 mahupun Intel i9 adalah amat digalakkan.
Selain boleh dibeli di kedai – kedai komputer yang menawarkan jenama Asus, pembelian secara dalam talian juga boleh dilakukan.
BELI LAPTOP ASUS ZEPHYRUS G14: LAZADA | SHOPEE
Kesimpulan
Asus ROG Zephyrus G14 GA401 bukanlah laptop yang mempunyai spesifikasi tertinggi tetapi tetapi untuk membuat video pengajaran dan juga kerja – kerja yang ‘agak berat’ pemprosesan gambar, ianya dilihat berbaloi.
Tambahan pula, kerana ianya ringan, ianya cukup selesa untuk dibawa ke mana – mana dan ini meningkatkan lagi fleksibiliti penggunanya.
Kekurangan webcam sememangnya menjadi masalah besar kepada saya, namun bukan selalu saya menggunakan webcam. Malahan, apabila mesyuarat pun, webcam selalunya tidak dipasang.
Oleh itu, pada saya, laptop ini berpatutan harganya dan harus dijadikan antara pilihan utama guru yang ingin membuat video pengajaran serta menikmati sedikit permainan komputer.